Jumaat, 13 November 2009

::BiLaL BiN RaBaH::

Dalam sejarah Islam, nama Bilal bin Rabah sudah tidak asing lagi, beliau muazin dan sekali gus sahabat Rasulullah s.a.w. yang sangat setia. Beliau adalah pejuang Islam yang sama-sama meruntuhkan berhala yang dipuja oleh kaum Quraisy di Mekah.

Bilal telah dianggap sebagai contoh seorang Islam yang sanggup menempuh pelbagai penyeksaan oleh puak kafir.

Suatu ketika Bilal telah dibogelkan dan dibaringkan atas bara api dengan tujuan supaya dia meninggalkan agama Islam, namun beliau tetap menolak.

Pada suatu hari ketika padang pasir ibarat neraka jahanam kerana kepanasannya, Bilal dibawa keluar dari kota Mekah dan dihumbankan di tengah-tengah padang pasir.

Kemudian beberapa lelaki mengangkat batu besar dan meletakkannya di atas tubuh Bilal.

Mereka mengulangi seksaan ke atas Bilal itu setiap hari dan memberitahunya bahawa penyeksaan itu akan berakhir jika beliau sedia melafazkan perkataan yang baik untuk tuhan-tuhan mereka.

Namun Bilal tetap dengan pendiriannya yang teguh dan terus melafazkan ``Ahad, ahad, ahad ...! (Allah Maha Esa, Allah Maha Esa, Allah Maha Esa!).''

Para kaum kafir Quraisy Mekah itu pun berteriak, bahkan seakan-akan hendak memohon kepadanya, ``Sebutlah Lata dan `Uzza!'' Dua nama ini adalah dua berhala paling besar yang dijadikan oleh kafir Quraisy sebagai pemimpin berhala-berhala lain yang lebih kecil.

Tetapi, jawapan Bilal bin Rabah tidak pernah berubah daripada: Ahad, ahad, ahad ...!

``Sebutlah apa yang kami sebut!'' Mereka meminta kepada Bilal.

Namun, dengan ejekan pahit dan penghinaan yang menakjubkan Bilal menjawab, ``Lidahku tak dapat mengucapkannya ...''

Tinggallah Bilal dalam deraan panas dan tindihan batu, hingga ketika hari petang mereka tegakkan badannya dan ikatkan tali pada lehernya. Lalu, mereka mengaraknya keliling bukit-bukit dan jalan-jalan Kota Mekah, sementara Bilal tiada lekang kedua bibirnya melagukan senandung sucinya: ``Ahad, ahad, ahad...!''

Itulah perjuangan seorang Bilal bin Rabah untuk mempertahankan akidahnya. Walaupun nyawa menjadi taruhan, keteguhan iman seorang insan bernama Bilal tidak tergugat.

Demikianlah teguhnya pendirian Bilal bukan sahaja demi mempertahankan akidahnya tetapi kepentingan Islam seluruhnya.

Tetapi malangnya pada zaman ini, sikap yang ditunjukkan oleh Bilal tidak dicontohi oleh sebahagian daripada kita.

Puak-puak musuh Islam dengan sewenang-wenangnya mampu menjadikan seorang Islam untuk menyokong mereka melalui pelbagai tawaran bagi kesenangan di dunia.

Kesudahannya banyaklah perjuangan Islam yang musnah kerana semata-mata terdapat di antara kita yang lebih rela mengorbankan agamanya demi mencapai kebahagiaan di dunia.

Justeru peristiwa yang terjadi kepada Bilal ini harus dijadikan pengajaran bahawa musuh Islam tidak akan pernah berhenti daripada matlamat mereka untuk memusnahkan Islam dan cita-cita mereka itu hanya akan tercapai jika ada di antara kita yang menjadi pembelot.

p/s:betapa kuatnya iman orang2 terdahulu yerk..


SUARA MUAZZIN TERDENGAR
MEMANGGIL INSAN MENYEMBAH ALLAH
SEJENAK TERIMBAU INGATAN
KEPADA INSAN YANG MULIA

DIRIMU HANYALAH SAHAYA
SYAHADAH ITU KEBEBASANMU
DERAPAN KAKIMU TERDENGAR
DI DEPAN RASULMU DI SYURGA

ALUNAN AZANMU TERHENTI
HARI KEWAFATAN KEKASIH TERCINTA
LALU BERDERAILAH TANGISAN
SUARA EMAS TAK TERDENGAR LAGI

KAU BILAL BIN RABAH
CEKAL DAN TABAH
DIPANGGANG DI GURUN YANG PANAS
BIARPUN DIRIMU DIDERA DISIKSA
BIBIRMU TETAP MENYEBUT

ALLAH TUHANKU
ALLAH YANG SATU
TIADA TUHAN SELAIN ALLAH
MUHAMMAD PESURUH ALLAH

DI BALIK KULITMU YANG HITAM
TERSIMPAN HATI SEPUTIH KAPAS
SUARA AZANMU BERGEMA
ADALAH SILAMMU YANG LUKA
ADALAH BUTIRAN MUTIARA
MENJADI TAULADAN MANUSIA

0 comments: